Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting
rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti
biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan
mempersilakannya duduk.
Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya
tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan
kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan
yang agak berat.
“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.
Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun
sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.
“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia
saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana
berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si
penggunting rambut.
“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun
selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!”
sambungnya lagi menyatakan kekesalan.
“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat
semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.
“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua
masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting
rambut yang umurnya 40-an itu.
Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun
selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar
tingkap.
“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik
tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.
“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya
kembali.
“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh
kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki
itu meminta pandangan.
“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan
sambil mengangguk.
“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada
kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting
rambut.
“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting
rambut menafikan.
“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang
dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.
“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang
jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik
tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.
“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik
memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya
peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia
itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua
tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.
Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil
mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.
“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan
malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu
al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka menjauhkan
diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan
manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih
handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik
untuk dirapikan rambut saya, hehe…”
“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa
potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.
“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik
tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi,
alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas
lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa
juga.
No comments:
Post a Comment